Mulai 1 April, pengguna Twitter yang ingin meletakkan tanda semak biru pada akaun mereka akan perlu membayar caj bulanan atau tahunan kepada pengendali aplikasi itu.
Menerusi satu kenyataan yang dibuat Twitter, tanda semak biru pada akaun yang dimiliki pengguna sebelum ini akan dihapuskan dan digantikan dengan tanda semak biru menerusi program Twitter Blue.
Sebelum ini, tanda semak biru atau simbol verified dimiliki oleh segelintir individu atau organisasi secara percuma, namun bermula April ini, ia perlu dibayar secara bulanan.
Menurut Twitter Blue, pengguna yang ingin mengekalkan atau memiliki tanda verified pada akaun mereka perlu membayar sebanyak RM369 setahun bagi pakej tahunan atau RM35 bagi pakej bulanan.
Pengguna yang memiliki tanda verified oleh Twitter Blue bakal memiliki kelebihan seperti edit Tweet, muatnaik video bersaiz 1080p, fail bookmark, artikel teratas, iklan yang kurang dan juga akses awal untuk fungsi-fungsi terbaharu oleh Twitter Blue Labs.
Perkara ini jelas membuatkan ramai pengguna Twitter khasnya mereka yang sudah memiliki tanda verified berasa kurang senang kerana aplikasi itu dilihat seperti menindas pengguna dengan mengenakan bayaran bagi fungsi tertentu.
Sumber: Twitter Blue