Tambang KTM Komuter Lembah Klang Percuma Dua Hari Sempena Thaipusam 2024

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan tambang percuma menerusi pengangkutan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari ini, sempena dengan perayaan Thaipusam.

tambang ktm komuter lembah klang percuma dua hari sempena thaipusam 2024

Menurut beliau, terdapat lima inisiatif pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan orang ramai semasa perayaan Thaipusam ini.

 

“Kita menjangkakan seramai 250,000 orang akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang sepanjang tempoh 4 hari 3 malam tersebut dengan jumlah penumpang dijangka meningkat pada hari kemuncak iaitu Hari Thaipusam pada 25 Januari 2024,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

 

Ujarnya, perkhidmatan KTM Komuter tambahan tanpa henti akan berlangsung selama empat hari tiga malam yang akan bermula pada 23 Januari sehingga 26 Januari.

tambang ktm komuter lembah klang percuma dua hari sempena thaipusam 2024

Sebanyak 33 perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves dan 39 perkhidmatan tambahan bagi laluan Batu Caves – Pelabuhan Klang – Batu Caves, yang menjadikan jumlah keseluruhan tren tambahan KTM Komuter yang disediakan adalah sebanyak 72 perkhidmatan setiap hari.

 

Perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan bermula seawal pukul 9.55 malam pada 23 Januari dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves dengan kekerapan setiap satu jam. Manakala, tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Stesen Batu Caves akan bermula seawal jam 11.39 malam juga dengan kekerapan setiap satu (1) jam.

 

KTMB dalam pada itu turut menyediakan perkhidmatan tambahan baharu bagi pengguna dari Pelabuhan Klang yang boleh mendapatkan trip terus ke Batu Caves selepas 12 tengah malam.

 

“Tiada perkhidmatan tren tambahan dari Tanjung Malim ke Batu Caves dan sebaliknya. Walau bagaimanapun, pengguna-pengguna dari laluan ini boleh menaiki tren komuter dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur dan KL Sentral dan membuat pertukaran tren KTM Komuter ke Batu Caves. Alternatif lain adalah dengan mendapatkan MRT Sg. Buloh ke Stesen MRT Kampung Batu.,” katanya.

 

Sumber: Kosmo!