Inisiatif tambang percuma bagi perkhidmatan bas henti-henti kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun akan disediakan menerusi 'myBAS Konsesi'.
Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Foke pada Selasa, di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) yang dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Program itu katanya akan mula dilaksanakan di SBST Seremban, Ipoh dan Johor Bahru berkuatkuasa pada Selasa (15 Ogos).
"Dijangka lebih 2,500 pengguna golongan sasar akan menikmati manfaat subsidi kos perjalanan di ketiga-tiga bandaraya yang membabitkan 58 laluan.
"Golongan sasar warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk menerima manfaat tambang percuma ini terbuka kepada OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), warga emas berumur 60 tahun dan ke atas serta kanak-kanak berumur tujuh hingga 17 tahun yang bersekolah di kawasan liputan perkhidmatan berkenaan," katanya.
Mereka yang layak boleh mula mendaftar di kaunter perkhidmatan myBAS dengan membawa dokumen pengenalan diri.
Ujarnya, terdapat lima lokasi kaunter pendaftaran yang disediakan di Seremban, tujuh di Johor Bahru dan satu di Ipoh.
"Prosesnya sangat mudah, mereka hanya perlu sekali saja buat pendaftaran dan akan diberi pas myBAS tetapi dikhendaki perbaharuinya setiap tahun bagi tujuan kemas kini maklumat.
" Bagi golongan OKU dan warga emas, kita akan tengok bagaimana untuk pemudahkan pendaftarannya supaya mereka tak perlu perbaharui kad setiap tahun dan," katanya lagi.
Inisiatif itu juga katanya akan dicadangkan untuk diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat.
"Sebelum ini kita dapati tak ramai golongan ini yang menggunakan perkhidmatan myBAS di tiga-tiga negeri terlibat.
"Tapi saya yakin bila kerajaan ambil inisiatif sediakan tambang percuma ini, ramai yang akan buat permohonan," ujarnya lagi.
Sumber: Sinar Harian