Seorang penumpang sebuah bas ekspres terkejut apabila dikenakan caj tambang sebanyak RM241 bagi perjalanan dari Gopeng, Perak menuju ke Johor Bahru (JB).
Perkara itu mendapat perhatian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang berkata, Kementerian Pengangkutan diminta untuk mengambil tindakan tegas, termasuk menggantung lesen perkhidmatan bas ekspres terbabit.
Tambang yang meningkat hampir 300 peratus berbanding harga asal hanya RM70 sehala itu menyebabkan pasangan suami isteri terbabit terpaksa membayar lebih RM800 untuk perjalanan dua hala ke destinasi berkenaan.
"CAP berasa kecewa dan terkejut apabila penumpang yang dalam perjalanan dari JB ke Gopeng dikenakan bayaran mahal bagi tiket bas yang dibelinya dari dalam talian sebulan lalu sebelum Tahun Baharu Cina.
"Penumpang terbabit dikenakan caj tiket dari JB ke Gopeng sebanyak RM190 seorang untuk perjalanan Jumaat lalu dan membayar RM241 untuk perjalanan pulang semula ke JB pada Isnin.
"Secara peribadi, pengadu merasakan tambang bas yang dikenakan terhadapnya adalah berlebihan dan CAP merasakan bahawa ini satu eksploitasi kepada pengguna," kata Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV Subbarow.
Tambah Subbarow lagi, pihaknya berasa kecewa dengan sikap segelintir pengusaha basa ekspres yang mengambil kesempatan keatas penumpang atas nama musim perayaan.
Sumber: Astro AWANI