Seorang peniaga disyaki menjual makanan kepada orang yang tidak berpuasa di Bachok, Kelantan, sanggup menyembunyikan lauk dalam tandas dan nasi bungkus dalam mesin basuh.
Menerusi operasi cegah orang tidak berpuasa oleh Pejabat Agama Jajahan Bachok dan Majlis Daerah Bachok antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam bersama teh O ais telah dirampas.
Dalam operasi itu, seorang wanita yang juga pemilik rumah berusia 40-an telah diberi amaran dan dipanggil untuk diberi kaunseling.
Operasi dijalankan hasil pemantauan dan aduan awam yang mendapati pemilik rumah menjual makanan dan minuman kepada individu yang tidak berpuasa. Hasil serbuan mendapati, 20 bungkus nasi disorok dalam mesin basuh dan ayam yang diperap dalam tandas. Selain itu, bungkusan teh O ais juga ditemui disembunyikan dalam bilik tidur.
Wanita berkenaan mengaku bersalah menjual makanan dan minuman itu kepada individu tidak berpuasa pada Ramadan ini. Tiada tangkapan dibuat kerana pembeli sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Sumber: BH