Sesi persekolahan akan kembali dilaksana pada bulan Januari dalam masa beberapa tahun lagi, demikian menurut Ketua Pengarah Pendidikan.
Ujar Datuk Pkharuddin Ghazali, langkah untuk melaksanakan kembali sesi persekolahan pada Januari dalam tempoh singkat adalah bukan langkah mudah kerana ia memerlukan pengorbanan semua pihak termasuk cuti persekolahan.
Katanya, jumlah hari persekolahan juga tidak boleh kurang daripada 190 hari sepertimana yang telah ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1996.
“Jika mahu dikembalikan dengan cepat perlu mengorbankan cuti yang ada, tapi kalau sekolah tidak ada cuti, maka tidak ada waktu rehat bagi guru, pelajar bersama ibu bapa selain berkemungkinan memberi kesan kepada ekonomi yang saling berkait rapat.
“Kita perlu kekalkan 190 hari. Jadi, kena anjakkan sedikit demi sedikit, mungkin potong di mana-mana dan anjak berapa banyak (hari).
“Ia bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat dan akan mengambil masa beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak,” katanya.
Tambah beliau, sesi persekolahan yang bermula Mac ketika ini boleh dilihat dari sudut positif apabila tempoh peperiksaan SPM dapat dijalankan diluar musim monsun timur laut.
Sumber: Kosmo!