Membimbangkan, Sekitar 300,000 Lepasan SPM Tak Berminat Sambung Belajar

Selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperoleh keputusannya, rata-rata pelajar akan memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.

membimbangkan, sekitar 300,000 lepasan spm tak berminat sambung belajar

Peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi ini bakal membuka pintu kepada pelbagai cabaran dan kejayaan dalam bidang yang diminati.

 

Namun, perkara itu semakin kurang diminati pelajar kerana menurut rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), lebih kurang 300,000 pelajar lepasan SPM dilapor enggan melanjutkan pelajaran atas beberapa faktor.

 

Antaranya adalah disebabkan kemungkinan mereka lebih tertarik dengan ekonomi gig yang menawarkan pendapatan lumayan setiap bulan.

membimbangkan, sekitar 300,000 lepasan spm tak berminat sambung belajar

Situasi itu nyata membimbangkan kerana akan wujud cabaran untuk melahirkan sasaran sebanyak 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030, memandangkan sekarang negara masih berada pada tahap 28 peratus sahaja.

 

"Inilah sebenarnya yang menjadi cabaran besar kepada kita dengan pengaruh ekonomi ini telah memberi kesan kepada anak muda.

"Jadi kita mahu menjadi negara maju dengan tenaga mahir yang mencukupi supaya kita dapat menggerakkan industri-industri kita di negara ini," kata Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia (KSM), Mustapa Sakmud.

 

Untuk itu, semua kementerian, sekolah dan ibu bapa perlu berganding bahu bagi memberi kesedaran kepada generasi muda untuk lebih mengutamakan pendidikan, khususnya sijil kemahiran untuk masa depan lebih terjamin.

 

"Jangan hanya memikirkan jangka masa pendek saja, fikirkan yang lebih jauh.

"Yang kekal ini mereka perlu ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka perlu ada sijil kemahiran, dan sudah tentu mereka perlu melanjutkan peringkat diploma atau ijazah itu akan kekal sampai bila-bila," katanya lagi.

 

Sumber: Sinar Harian