Tindakan sekumpulan saintis dari Rusia yang cuba menghidupkan semula sejenis virus kuno telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyelidik.
Perkara itu menurut penyelidik dibimbangi boleh mewujudkan semula pandemik baharu kerana sifat virus kuno yang masih tidak diketahui.
Semuanya bermula selepas pakar dari Pusat Penyelidikan Vektor di Novosibirsk, Siberia, Rusia sedang menganalisis sisa bangkai haiwan gajah raksasa purba dikenali sebagai mamaot, badak sumbu bulu dan beberapa hidupan lain yang hidup semasa Zaman Ais.
Pakar-pakar itu cuba mengenalpasti dan menghidupkan semula virus kuno dikenali sebagai paleovirus yang tidak lagi aktif selama hampir setengah juta tahun. Mereka melakukan kajian dengan tujuan mengkaji jangkitan yang mungkin menjadi penyebab kepada kematian haiwan-haiwan prasejarah ini.
Bagaimanapun kajian itu amat berisiko kerana virus yang membunuh haiwan prasejarah ini dikhuatiri boleh menjangkiti manusia masa kini.
“Penyelidikan Vektor adalah sangat, sangat berisiko. Sistem imun kita tidak pernah menemui jenis virus ini. Sebahagian daripada virus tersebut berumur 200,000 atau bahkan 400,000 tahun,” demikian menurut seorang pakar genom.
Haiwan-haiwan prasejarah yang dikaji ini telah ditemui di wilayah Yakutia di mana suhu terendah adalah pada paras -55 darjah Celsius.
Sumber: Kosmo!