Miss Universe Malaysia 2022, Francisca Luhong telah berdepan detik mencemaskan apabila diganggu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di Ampang baru-baru ini.
Menurut beliau, lelaki itu adalah individu yang sama mengekorinya tahun lalu.
"Saya diganggu hari ini (Selasa) oleh seorang individu sama yang mengganggu saya hampir setahun yang lalu ketika minggu fesyen Kuala Lumpur (KLFW) berlangsung.
"Saya tidak pernah mendedahkan perkara ini kepada umum. Oleh kerana ini bukan kali pertama (ia berlaku) dan saya merasakan wanita di luar sana perlu lebih berjaga-jaga terutama di kawasan ini," kata Francisca dalam satu hantaran di Instagram.
Ratu cantik kelahiran Sarawak itu berkata lagi, lelaki itu memakai jubah putih ketika cuba menghampirinya dalam kejadian tahun lalu.
Ujar Francisca, lelaki itu bertanya sama ada beliau keseorangan malah turut diajak ke bilik hotel untuk berbual.
"Meskipun pelawaannya itu ditolak dengan baik, dia enggan berbuat demikian. Dia malah mengekori saya dari belakang sebelum bertindak mengejar saya ketika sedang berjalan menuju ke sebuah pasar raya.
"Saya dengan cemas berjalan cepat dan segera menghampiri seorang individu yang saya kenali di acara KLFW sebelum lelaki berkenaan beredar," kongsinya.
Lebih menakutkan, katanya lelaki yang sama telah mengekorinya baru-baru ini dan kelihatan lelaki itu seperti sedang memakai sesuatu di leher seperti minyak.
.
Ekoran daripada itu, beliau telah membuat laporan polis sambil menasihatkan agar wanita diluar sana berhati-hati khasnya apabila keseorangan.
"Saya berkongsi pengalaman ini kerana ini bukan kerana saya ingin mengaibkan seseorang, namun ini bukan kali pertama ia berlaku. Cuma kali ini dia tidak bercakap dengan saya, mungkin disebabkan ramai orang.
"Saya ingin mengingatkan wanita di luar sana, sekiranya mereka terserempak dengan individu ini, tolong berhati-hati dan jangan bertentang mata dengannya.
"Saya terlalu panik pada awalnya dan trauma dengan kejadian yang berlaku sebelum ini. Saya juga merasakan, atas dasar pemakaiannya, dia tidak pernah dipersoalkan atau dikejar pihak berkuasa.
"Tetapi tolong berhati-hati, kerana kita tidak tahu niat sebenar seseorang, lebih-lebih lagi ada yang sanggup menggunakan apa sahaja untuk menutup niat jahat mereka," tegas Francisca.
Sumber: Instagram