Malaysia telah terpilih menjadi pusat perhatian para penggemar muzik antarabangsa, terutama penggemar kumpulan Coldplay, dengan penjualan tiket konsert band terkenal itu secara atas talian bermula sejak semalam (16 Mei).
Coldplay, band rock alternatif yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti "Viva la Vida", "Fix You", dan "Yellow", telah mengumumkan akan mengadakan konsert di Malaysia sebagai sebahagian daripada jelajah dunia mereka. Konsert ini dijadualkan akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Penjualan tiket bagi menyaksikan konsert ini telah bermula sejak semalam khas kepada pengguna bank CIMB, dan penganjur memaklumkan tiket sudahpun habis terjual.
Namun, tidak sampai 24 jam selepas penjualan tiket dibuat, kini sudah ada tiket yang mula dijual secara atas talian pada harga yang lebih tinggi.
x
Menjengah ke beberapa portal penjualan atas talian, ada yang mula menjual tiket konsert itu pada harga sekali ganda lebih mahal berbanding harga asal. Namun tidak dapat dipastikan sama ada tiket yang dijual itu adalah benar ataupun palsu.
Pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati sekiranya mahu berurusan dengan mana-mana individu untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan atas talian.