Pengkelasan kumpulan B40, M40 dan T20 yang dibuat berdasarkan pendapatan isi rumah tidak akan lagi digunapakai mulai 2024.
Penghapusan pengkelasan secara berperingkat itu adalah bertujuan supaya kerajaan dapat meminimumkan ralat pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji.
“Beberapa inisiatif atau dasar yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah berbeza berbanding dengan pendekatan yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini, termasuk perkara yang membabitkan bantuan dan subsidi.
“Kerajaan juga perlu memastikan bahawa semua infrastruktur yang sedia ada dan perlu melakukan ujian perintis, sebelum mengambil keputusan berapa tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan,” kata beliau.
Ujar Rafizi lagi, kerajaan akan melaksanakan satu demi satu termasuk bantuan sosial yang disepadukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.
Minggu ini, perbincangan telah bermula di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) mengenai simulasi, pembahagian manfaat, pendekatan yang dipilih, peningkatan pendapatan yang berpotensi, dan perkara-perkara berkaitan lain.
Kejayaan dalam mencapai objektif ini bergantung kepada kerjasama di antara pelbagai agensi melalui perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (Padu), yang memastikan pelaksanaan yang berkesan bagi program subsidi kerajaan.
Dalam pengumuman sebelum ini, Rafizi mendedahkan bahawa bermula Januari 2024, terdapat peralihan dalam dasar sosioekonomi dari klasifikasi berdasarkan pendapatan B40, M40, dan T20 kepada pendekatan berdasarkan perbelanjaan bersih isi rumah.
Sumber: Astro AWANI