Seorang wanita yang merupakan pembersih sampah jalanan telah mencuri perhatian ramai kerana dikatakan mempunyai wajah jelita dan sentiasa bersolek meskipun sedang melakukan tugas.
Pattaramon Thocharoen, 27, dari Bangkok Thailand dikenali sebagai Bow si pembersih jalanan paling cantik di Thailand, selepas beberapa videonya tular di Tiktok.
Menurut Bow, beliau sering menyolek wajahnya ketika melakukan kerja pembersihan jalan untuk kepuasan diri.
“Mengapa saya tidak boleh kelihatan cantik ketika melakukan pekerjaan yang sukar?” soalnya.
Katanya lagi, dia tidak berasa malu melakukan pekerjaan itu kerana ibunya juga seorang pembersih jalanan, manakala bapanya seorang pemandu lori sampah.
“Ini adalah bidang kerja yang ibu bapa lakukan ketika membesarkan saya. Justeru, saya berbangga dengannya,” kata Bow.
Bow dilihat sering berkongsikan rutin kerja hariannya menerusi akaun Tiktok yang mempunyai lebih 300,000 pengikut.
Sumber: Tiktok / Kosmo!