Malaysia bakal mengalami fenomena gerhana matahari separa pada 20 April ini, bersempena dengan fenomena gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena itu bermula jam 11 pagi hingga selewatnya jam 2 petang bagi pemerhati di Sabah, manakala hingga jam 1 tengah hari bagi pemerhati di Semenanjung.
Untuk itu juga, pihak MOSTI bakal menganjurkan Program Cerapan Gerhana Matahari Separa 2023 di Planetarium Negara, KL dan di bandar Tawau. Pengunjung juga akan diberikan cermin mata gerhana secara percuma. Malah, satu siaran langsung penstriman Facebook dan Youtube Planetarium Negara turut disediakan ketika hari kejadian.
Orang ramai diingatkan untuk tidak melihat matahari secara terus tanpa menggunakan cermin khas kerana ia boleh merosakkan retina mata, lalu mengakibatkan buta kekal.
Pun begitu, kenampakan fenomena gerhana matahari separa ini juga bergantung kepada faktor cuaca kawasan setempat.
MOSTI turut menasihatkan umat Islam yang sedang menjalani ibadah berpuasa agar tidak berada terlalu lama di bawah sinaran matahari kerana ia boleh menyebabkan kehilangan terlalu banyak air dalam badan.
Kali terakhir fenomena gerhana matahari separa ini berlaku adalah pada 21 Jun 2020 dan ia hanya akan berlaku semula pada 2 Ogos 2027.
Sumber: BERNAMA