Secara umumnya, main kutu adalah satu skim menyimpan dan mengumpul wang dalam tempoh singkat dan kebiasaannya disertai oleh beberapa orang pemain dengan jumlah bayaran bulan tertentu yang dipersetujui oleh semua ahli.
Namun kini terdapat satu kaedah moden dalam permainan kutu termasuklah yang menawarkan dividen.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, sekiranya kutu itu dianjurkan dengan tujuan bagi mendapatkan keuntungan, maka jelas ia boleh dikenakan cukai pendapatan.
Meskipun secara asasnya permainan kutu secara tradisional tidak dianggap sebagai pendapatan, namun kini ada pula permainan kutu yang mempunyai unsur keuntungan dan ia tertakluk kepada cukai.
"Main kutu tradisional tidaklah dianggap sebagai pendapatan, kerana jika (ahli kumpulan) berkongsi giliran (untuk mendapatkan wang yang disimpan) ia tidak tertakluk kepada cukai.
"Tetapi sekarang ada pula permainan kutu yang secara umumnya satu pendapatan dan jika ada unsur keuntungan, ia memang tertakluk kepada cukai," katanya.
Perkara itu jelasnya mungkin akan diteliti dalam program pengakuan secara sukarela yang akan dilaksanakan selama setahun bermula Jun ini. Program itu bakal memberi peluang kepada pembayar cukai atau yang belum pernah membayar cukai yang tahu mereka ada pendapatan untuk membuat semakan.
"Tahun-tahun di mana mereka melaporkan secara sukarela itu tidak akan diaudit. Kadang-kadang pembayar cukai sedia ada pun mungkin ada yang tertinggal melaporkan (pendapatan) atau kurang melaporkan, bolehlah datang dan LHDN tidak akan membuka semula (fail cukai) bagi tahun-tahun yang dilaporkan secara sukarela.
"Jadi mulai sekarang, orang ramai bolehlah periksa pendapatan masing-masing yang mungkin tertinggal untuk dilaporkan dan datanglah secara sukarela di mana-mana pejabat cawangan LHDN tanpa dikenakan penalti atau pada kadar kosong peratus," katanya.
Sumber: BH