Lelaki Di Terengganu Putus Tangan Akibat Terkena Mercun Buatan Sendiri!

Seorang lelaki di Terengganu terpaksa menahan kesakitan selepas tangan kirinya putus dan beberapa jari kanan hancur akibat terkena mercun buatan sendiri.

lelaki di terengganu putus tangan akibat terkena mercun buatan sendiri!

Kejadian berlaku di Kampung Gong Pak Damat kira-kira 3.30 pagi Isnin yang juga mengakibatkan mangsa berusia 27 tahun cedera pada beberapa bahagian badan.

 

Menurut siasatan awal, mangsa telah membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip PVC hingga menyebabkan berlakunya letupan yang kuat.

lelaki di terengganu putus tangan akibat terkena mercun buatan sendiri!

"Mangsa mengalami kecederaan serius iaitu putus pada pergelangan tangan kiri, manakala beberapa jari tangan kanan juga hancur serta mengalami kecederaan lain pada bahagian badan.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)," kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.

 

Kes tersebut juga akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, dan usaha untuk menangkap pengedar dan penjual mercun itu kini giat dijalankan.

 

Tambah beliau lagi, sebanyak 17 kes pertuduhan jenayah melibatkan tangkapan dan rampasan mercun telah dibuat kontinjen Terengganu sejak 23 Mac hingga 9 April lalu, membabitkan nilai rampasan sebanyak RM18,835.

 

Mana-mana individu yang didapati mengedar atau menjual bunga api atau mercun tanpa permit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

 

Sumber: Sinar Harian