Wang Tidak Dituntut (WTD) bermaksud wang perlu dibayar disisi undang-undang kepada pemilik yang sepatutnya dalam tempoh masa tertentu seperti mana di tetapkan di bawah Seksyen 8, Akta Wang Tidak Dituntut 1965.
Menurut laporan Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa jumlah Wang Tak Dituntut (WTD) dan diurus oleh Jabatan Akauntan Negara sehingga 30 April tahun ini mencapai RM11.2 bilion.
Ketika masih ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan WTD ini, seorang pemuda di Twitter dengan nama akaun @chiconazrul telah memperoleh sejumlah WTD miliknya sebanyak RM37,249.23.
“Pernah ‘claim’, masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, sangat membantu ketika itu,” ciapnya sambil berkongsi resit penerimaan Wang Tidak Dituntut (WTD).
Cara Semak WTD Secara Online
Bermula Januari 2020, semakan WTD eGUMIS boleh dilakukan secara online bagi memudahkan rakyat yang ingin membuat semakan tanpa perlu hadir ke kaunter.
Pengguna perlu klik pautan https://egumis.anm.gov.my/ dan ikut langkah seperti di bawah:
1. Pendaftaran kali pertama, pengguna perlu klik pada butang pendaftaran untuk membuat pendaftaran kali pertama
2. Skrin pendaftaran pengguna akan dipaparkan. Pengguna perlu melengkapkan maklumat yang diperlukan seperti nama penuh, jenis pengenalan, no kad pengenalan, email, nama pengguna dan pengakuan bersetuju. Setelah itu pengguna perlu klik butang daftar.
3. Kata laluan sementara akan dihantar ke email yang telah didaftarkan.
4. Kemudian tekan butang log masuk. Isikan nama pengguna seperti yang didaftarkan dan kata laluan sementara seperti yang diterima melalui email pengguna.
5. Skrin tukar kata laluan akan dipaparkan. Isikan kata laluan sementara dan masukkan kata laluan baharu dan ulang kata laluan baharu. Kemudian tekan butang simpan untuk mengemaskini maklumat pengguna.
6. Skrin kemaskini maklumat pengguna akan dipaparkan. Sila lengkapkan maklumat seperti alamat, negara, negeri, poskod, bandar dan no telefon bimbit. Kemudian tekan butang simpan.
7. Skrin carian wang tak dituntut akan dipaparkan. Untuk membuat semakan, sila klik pada butang carian wang tak dituntut kemudian masukkan no kad pengenalan. Tekan butang cari dan hasil carian akan dipaparkan.
8. Maklumat wang tak dituntut dipaparkan. Jika anda ingin membuat cetakan sila klik butang cetak.
Selain itu, orang ramai juga boleh membuat semakan WTD di pejabat Jabatan Akauntan Negara Malaysia di seluruh negeri.
Sumber: Jabatan Akauntan Negara / Twitter