Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai satu kejadian ribut solar (solar storm) yang bakal terjadi tahun ini hingga dikatakan bakal menjejaskan fungsi Internet seluruh dunia.
Bagaimanapun Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, orang ramai tidak perlu panik dengan fenomena itu kerana ia adalah satu perkara yang biasa dan kerap berlaku.
"Bumi akan dilanda ‘solar storm’ yang kuat pada tahun ini, selain saintis meramalkan kita akan mencapai 'solar maximum' (solar maksimum) pada 2024 dengan suar (nyalaan api) yang cukup kuat bagi melumpuhkan internet di dunia selama beberapa minggu.
"Fenomena ribut suria ini sentiasa berlaku. Orang awam tidak perlu panik dengan berita viral tersebut kerana fenomena itu biasa dan sentiasa terjadi cuma bezanya adalah lemah dan kuat sahaja.
"Kesan ribut solar ini boleh dilihat pada kejadian aurora di kawasan kutub bumi, malah aurora itu sebenarnya merupakan bukti kewujudan fenomena tersebut," katanya.
Ujar beliau, ribut solar mungkin boleh menjejaskan medan magnet Bumi, dan menghasilkan arus yang disebut sebagai Geomagnetically Induced Currents (GOC) yang boleh menggangu bekalan kuasa dan elektrik di Bumi kerana wujudnya caj berlebihan.
Namun tambah beliau, kesan akibat ribut solar itu terlalu lemah, berdasarkan rekod-rekod kejadian yang lepas.
"Kesan lain yang boleh dilihat adalah ganguan kepada sistem telekomunikasi gelombang radio atau dikenali sebagai ganguan ionosfera mendadak (SID).
"Sebenarnya penduduk di dunia ini bertuah kerana ALLAH SWT telah melindungi bumi dengan lapisan atmosfera dan medan magnet tersendiri di sekelilingnya," jelas beliau.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan saintis-saintis yang telah mengeluarkan amaran ribut solar dahsyat yang diramal berlaku pada awal tahun ini.
Kajian yang dikenali sebagai ‘Suria Maksimum’ menyebut beberapa penemuan baharu seperti ribut solar yang cukup kuat hingga menggangu jaringan Internet di Bumi selama berminggu-minggu disebabkan oleh medan magnet Matahari.
Sumber: Astro AWANI