Pelakon utama siri popular di Netflix, Wednesday, iaitu Jenna Ortega mendedahkan musim kedua siri berkenaan yang akan ditayangkan tidak lama lagi adalah lebih seram.
Menurut bintang berusia 20 tahun itu, siri Wednesday musim kedua nanti akan menampilkan episod yang lebih menyeramkan berbanding dengan musim pertama.
“Untuk musim kedua nanti, penonton akan merasai pengalaman lebih menyeramkan. Banyak adegan mengerikan bakal berlaku.
“Apa yang pasti, musim kedua Wednesday akan mendebarkan penonton,” katanya.
Jelas Ortega lagi, musim kedua itu nanti juga tidak banyak adegan romantik dan percintaan, sama seperti musim pertama.
“Kami memutuskan untuk memberi kelebihan pada sisi seram. Elemen itu akan lebih gelap dan menakutkan,” katanya.
Wednesday merupakan sebuah siri televisyen seram komedi supernatural Amerika berdasarkan watak Wednesday Addams daripada The Addams Family. Dicipta oleh Alfred Gough dan Miles Millar, ia dibintangi Jenna Ortega sebagai watak utama, bersama-sama dengan Catherine Zeta-Jones, Luis Guzmán, Isaac Ordonez, Gwendoline Christie, Riki Lindhome, Jamie McShane, Fred Armisen, serta Christina Ricci yang muncul sebagai watak pembantu.
Sumber: Kosmo!