Aplikasi foto dan video popular di dunia, Instagram kini telah meluaskan program pengesahan umur mereka kepada beberapa lagi negara sebagai satu langkah keselamatan pada aplikasinya.
Menurut Andy Stone, wakil dari syarikat Meta yang bertanggungjawab menguruskan aplikasi Instagram berkata, antara negara yang mendapat kemaskini program pengesahan umur adalah seperti Mexico, Kanada, Korea Selatan, Australia, Jepun dan negara-negara di Eropah.
Hasil kerjasama dengan syarikat keselamatan digital, Yoti , Instagram telah mula melancarkan pengesahan umur bermula di Amerika Syarikat pada Jun tahun lalu, yang memerlukan pengguna melakukan salah satu daripada pilihan berikut:
- Muatnaik dokumen pengenalan diri
- Rekod video selfie
- Minta rakan untuk sahkan umur anda.
Cara mengesahkan umur dengan video selfie adalah antara kaedah yang digunakan Yoti dan ia sangat berkesan dalam mengelakkan pengguna membuat sebarang penipuan umur. Ia bermaksud pengguna dibawah umur tidak lagi boleh menyalahgunakan aplikasi ini dengan membuat sebarang penipuan umur mereka.
Setakat ini masih belum dapat dipastikan bilakah pengguna di Malaysia perlu membuat pengesahan umur seperti diatas.
Sumber: Social Media Today