Masa kini, ramai yang mengambil kesempatan untuk mendapat pendapatan sampingan menerusi platform atas talian seperti Tiktok, Facebook, Instagram serta Youtube. Malah ada antara mereka yang menjadikan bidang ini sebagai pendapatan utama.
Namun, masih ada sebilangan yang menjadikan media sosial sebagai sumber pendapatan ini dan dalam kategori layak, enggan dalam melunaskan bayaran cukai hasil pendapatan mereka.
Lembaga Hasil Dalam Negeri, LHDN telah menyasarkan seramai 50,000 pembayar cukai tampil dalam program pengakuan sukarela khas SVPD 2.0 mulai 1 Jun nanti hingga akhir tahun depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi antara kumpulan yang diharap dapat tampil adalah pemilik perniagaan yang bermula kecil dan telah berkembang dan layak membayar cukai. Ini selain golongan individu dan syarikat yang tidak pernah melaporkan pendapatan mereka sebelum ini. Malah, golongan influencers dan tiktokers juga turut diberi perhatian.
“Oleh kerana mereka bergiat secara terbuka di khalayak ramai, kami memerhati, ini sebagai peringatan bukan amaran, bahawa lembaga hasil (LHDN) nampak apa yang berlaku, tampil kehadapan, ini peluang terbaik dalam SVPD 2.0,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Terdahulu, mana-mana individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM 34,000 dan mereka yang mempunyai Potongan Cukai Bulanan layak dikenakan cukai.
Sumber: LHDN / TV3