Scam ‘Culik’ Pelajar Sekolah dan Minta Wang Tebusan, Polis Nasihat Orang Awam Tidak Panik

Orang awam digesa agar tidak dengan mudah mempercayai panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali yang mengancam untuk menculik kanak-kanak dan menuntut wang tebusan.

scam ‘culik’ pelajar sekolah dan minta wang tebusan, polis nasihat orang awam tidak panik

Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, Ketua Polis Daerah Brickfields, melaporkan bahawa pihak polis telah menerima empat laporan berkenaan sindiket penipuan penculikan murid sekolah yang menuntut wang tebusan di kawasan Lembah Klang sejak bulan Jun.

 

Laporan-laporan tersebut diterima antara 13 hingga 15 Jun, selepas tular mesej di aplikasi WhatsApp mengenai insiden tersebut.

"Kes terbabit melibatkan seorang wanita tempatan bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat tempatan yang memaklumkan menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mendakwa anaknya ditahan dan meminta sejumlah wang tebusan.

"Oleh itu, pengadu segera bertindak memeriksa keadaan anaknya, namun mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan segera memutuskan panggilan suspek tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

 

Amihizam memberitahu bahawa kes-kes tersebut sedang dalam siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan cubaan penipuan.

 

Beliau juga menasihatkan orang awam agar tidak berspekulasi mengenai kes-kes tersebut.

 

"Hubungi balai terdekat jika anda mengalami masalah dan berhadapan dengan situasi ini dan jangan sesekali mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali," katanya.

 

Untuk langkah keselamatan, individu digalakkan untuk memeriksa nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi. Jika anda mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan tersebut, anda boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997.

 

Sumber: HMetro