Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dengan sindiket penipuan atas talian yang meminta untuk memuat turun aplikasi menerusi fail APK sebelum ‘menyedut’ semua wang.
Modus operandi penipuan baharu itu memerangkap orang ramai melalui iklan di media sosial atau secara rawak menerusi WhatsApp, dengan memperdaya mangsa untuk menekan pautan scam.
Mangsa yang menekan pautan akan diminta untuk memuat turun satu aplikasi, sebelum wang dari akaun bank lesap dicuri sindiket terbabit.
Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), taktik itu mula dikesan pada penghujung 2021, dengan suspek adalah warga tempatan dan warga asing.
Dalam tempoh 2021 sehingga Jun tahun ini, sebanyak 1,434 kes dilapor membabitkan kerugian RM23,261,676.89.
Salah satu kes penipuan ini melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang terpedaya melihat iklan pakej perkhidmatan saluran televisyen murah di Facebook.
Mangsa memuat turun aplikasi menerusi pautan yang diberikan pada telefon pintar dan mengikut arahan yang diberikan.
Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa kemudian menerima mesej SMS, sebelum diarah bagi mendaftar untuk mendapatkan akses. Mangsa kemudiannya memasukkan maklumat peribadi seperti nama, kad pengenalan, emel, butiran kad kredit dan butiran perbankan dalam talian.
Namun, apabila mangsa cuba menekan butang hantar, halaman itu menunjukkan tanda error dan baki wang sebanyak RM20,000 dalam bank mangsa juga lesap.
Sumber: HMetro