Ramadan Dah Dekat Tapi Tak Sempat Ganti Puasa? Ini 7 Golongan Wajib Bayar Fidyah

Pejam celik pejam celik, bulan Ramadan bakal tiba tidak lama lagi.

ramadan dah dekat tapi tak sempat ganti puasa? ini 7 golongan wajib bayar fidyah

Ketika ramai yang menggantikan puasa disebabkan keuzuran pada Ramadan yang lalu, ada beberapa golongan yang mungkin tidak sempat untuk menggantikannya menjelang Ramadan akan datang dan mereka wajib untuk dikenakan fidyah.

 

Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya.

 

Sebab-sebab dikenakan Fidyah

1. Meninggalkan puasa kerana tua

Orang tua yang tidak mampu berpuasa dan jika mereka berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan kesihatan tubuh badannya.

 

2. Meninggalkan puasa kerana sakit kronik

Orang yang sakit berpanjangan dan tidak diharapkan boleh sembuh berdasarkan pengesahan doktor perubatan.

 

3. Meninggalkan puasa kerana hamil

Wanita yang bimbang akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

 

4. Meninggalkan puasa kerana menyusukan anak

Ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

 

5. Meninggalkan puasa kerana musafir atau sakit dan tidak qada’ puasa pada tahun ia ditinggalkan

Wajib menggantikan (qada’). Sekiranya tidak menggantikan (qada’) puasanya sehingga telah memasuki Ramadan berikutnya, ia diwajibkan untuk membayar fidyah dan kekal menggantikan (qada’) puasanya.

 

6. Melambatkan ganti puasa (qada’)

Mereka yang melambat-lambatkan ganti (qada’) puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan) dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

 

7. Orang yang telah meninggal dunia

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

ramadan dah dekat tapi tak sempat ganti puasa? ini 7 golongan wajib bayar fidyah

Cara pengiraan Fidyah

(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = Fidyah

 

Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.

 

Bagi memudahkan orang ramai, portal Lembaga Zakat Selangor Majlis Agama Islam Selangor mempunyai ciri-ciri kalkulator Fidyah untuk memudahkan urusan mengira dan membayar Fidyah.

 

Kira disini: Kalkulator Fidyah

 

Sumber: Lembaga Zakat Selangor