Penyakit gastrik atau dalam istilah perubatan disebut gastritis akan menyebabkan individu itu berasa sakit menyucuk pada perut. Ia juga menyebabkan ketidakselesaan pada bahagian atas perut dan tepat dibawah tulang dada.
Ia bukanlah satu yang pelik, namun yang menghairankan adalah penyakit itu sering muncul pada segelintir orang setibanya bulan Ramadan.
.
Bagi mereka yang benar-benar diserang gastrik ketika berpuasa, ia adalah satu pengalaman pahit yang menyebabkan kesukaran untuk meneruskan ibadah berpuasa seperti orang lain.
.
Benarkah gastrik ini penyakit bermusim dan hanya muncul ketika bulan Ramadan?
Bagi menjelaskan perkara itu, Pakar Pemakanan Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Norazmir Md Nor berkata, gastrik bukanlah satu penyakit bermusim dan individu yang mempunyai masalah ini boleh berpuasa dengan baik jika melakukan sedikit persiapan awal.
.
"Saban tahun bila mana bulan puasa, jadi pesakit gastrik ini akan 'muncul' dalam kalangan rakyat kita.
"Sepatutnya mereka boleh berlatih, maksudnya kenapa saya kata macam itu kita boleh bermula sebelum bulan Ramadan lagi dengan berlatih puasa sunat untuk tengok kemampuan diri untuk berpuasa.
"Jadi, ya saya setuju (gastrik bukan penyakit bermusim). Kita tak boleh katakan gastrik ini bermusim sebab kita boleh latih perut, dan kemampuan kita untuk menghadapi bulan Ramadan. Sebab saya rasa isunya di sini ialah tentang cara dan kaedah pemakanan kita, itu yang perlu dititik beratkan," katanya kepada Astro AWANI.
.
Jelas beliau, pengambilan makanan yang bersesuaian seperti kalori yang mencukupi ketika bersahur dan berbuka adalah penting untuk mengelakkan gastrik berlaku pada bulan Ramadan.
.
Makanan yang tinggi serat dapat memberikan rasa kenyang berpanjangan, selain makanan itu juga perlu rendah indeks glisemik.
.
Tambahnya lagi, pengambilan air kosong yang mencukupi dan tidak berlebihan juga penting untuk mengelakkan dehidrasi.
.
Makanan pedas, berminyak, tinggi garam dan juga minuman berkafein perlulah dielakkan, khasnya kepada mereka yang mempunyai masalah gastrik.
Ubatan bantu atasi kesan gastrik:
#1. Antasid – Bantu meneutralkan asid dalam perut dan meredakan rasa sakit dengan cepat
#2. Penyekat histamin 2 (H2) -Mengurangkan pengeluaran asid bagi membolehkan lapisan perut sembuh
#3. Perencat pam proton (PPI) – Mengurangkan pengeluaran asid lebih berkesan berbanding penyekat H2
#4. Jika gastritis punca anemia pernisius, pengambilan vitamin B12 mungkin diberikan
#5. Gastrik yang berpunca daripada jangkitan H.pylori akan diberikan preskripsi antibiotik dan ubat penghalang asid – untuk mengatasi pedih ulu hati
.
Pesakit gastrik juga dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi meneliti tahap gastrik yang dialami. Jika penyakit itu memudaratkan seseorang untuk berpuasa, maka mereka perlu mendapat saranan daripada pakar kesihatan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
.
Sumber: [1]