Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil membuat penjelasan berhubung beberapa tanggapan negatif netizen dengan prosedur intubasi atau disebut juga ‘ditidurkan’.
Menurut KKM, tanggapan negatif kepada prosedur ini harus dibetulkan supaya maklumat yang tidak tepat tidak disebarkan kepada umum seterusnya menyebabkan panik dan kegelisahan ramai.
Kaedah intubasi atau ditidurkan bukanlah kaedah paling ‘selamat’ untuk mematikan pesakit, sebaliknya ia adalah usaha paling optimal untuk menyelamatkan nyawa.
"Sebaliknya, fakta sebenarnya adalah ditidurkan (induced coma) ialah usaha paling optimal untuk menyelamatkan nyawa terutamanya apabila seseorang pesakit mengalami keadaan klinikal yang kritikal dan mengancam nyawa.
"Pesakit yang ditidurkan namun kemudian meninggal dunia bukanlah disebabkan proses ditidurkan tetapi disebabkan status kesihatan yang semakin kritikal dan kegagalan organ yang semakin merosot," kata KKM dalam satu kenyataan.
Ujar KKM lagi, antara sebab pesakit perlu ditidurkan adalah apabila pesakit itu tidak lagi boleh bernafas sendiri.
"Selain itu, tahap oksigen yang rendah dalam darah, kemerosotan fungsi organ utama dan saluran pernafasan tersumbat.
"Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk menyemak kesahihan video yang ditularkan agar ianya tidak menyebabkan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat," ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan mengenai pesakit yang tidurkan di hospital KKM pasti akan meninggal dunia.
Sumber: Astro AWANI / KKM