Budak Umur 4 Tahun Di Kedah Melecur Ketika Main Mercun, Bunga Api

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur sebahagian badannya, dipercayai akibat disambar api ketika sedang bermain mercun dan bunga api dekat Kampung Senara, Kubur Panjang di Pendang, Kedah.

budak umur 4 tahun di kedah melecur ketika main mercun, bunga api

Kejadian berlaku baru-baru ini sekitar jam 10.30 malam ketika mangsa, Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmiz sedang bermain mercun dan bunga api sebelum beliau disambar api.

 

Mangsa dikejarkan ke Hospital Pendang dan didapati melecur 46 peratus pada anggota badan.

 

Menurut pihak polis yang menerima maklumat berkenaan sekitar ham 2.45 pagi kelmarin, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun sedang bermain bunga api dan mercun di hadapan rumah. Ibu dan bapa mangsa pula ketika itu sedang berada dalam rumah sedang menonton televisyen.

 

“Tiba-tiba pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan jeritan mangsa dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” kata Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah.

 

Sejurus kejadian, bapa mangsa bergegas membawa sebaldi air lalu menjirus ke badan anaknya sebelum membawa mangsa ke hospital.

 

“Kita masih menjalankan siasatan berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu disyaki terbakar selepas disambar api daripada pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

“Kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita merakam keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku,” jelasnya.

 

Setakat ini pihak hospital masih belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau mercun.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.

 

Sumber: Utusan Online