Tular Video Budak 11 Tahun Pandu Kereta Di Klang, Akhirnya Dicekup Polis

Tular di media sosial video menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna silver, di Jalan Banting-Pandamaran, Klang.

tular video budak 11 tahun pandu kereta di klang, akhirnya dicekup polis

Video kejadian itu yang dipercayai di rakam pada jam 6 petang minggu lalu telah mengundang padah apabila mendapat perhatian pihak polis.

 

Susulan kejadian, pihak polis telah menyerbu kediaman kanak-kanak terbabit yang terletak di Pandamaran pada jam 1.15 pagi semalam, serta menahan kanak-kanak dan bapanya yang berusia 49 tahun.

 

Dua beranak itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi tindakan lanjut.

 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan 1987 iaitu masing-masing kesalahan memandu di bawah umur dan bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan itu.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi,” demikian menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.

 

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu juga merupakan pelajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Pendamar, Klang.

 

Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengawasi anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang membahayakan diri serta harta benda, dan tidak menularkan sebarang kandungan demi menjaga imej serta privasi orang lain.

Terdahulu, tular juga insiden yang hampir serupa apabila seorang budak lelaki berusia enam tahun memandu kereta sejauh 2.5-kilometer sebelum terbabit kemalangan selepas melanggar tiang lampu dalam kejadian di Langkawi.

 

Sumber: Kosmo!