Hujan lebat yang berlaku kira-kira setengah jam pada Ahad telah mengakibatkan kejadian banjir lumpur berlaku di Bukit Tinggi, Pahang.
Kejadian sekitar jam 6.30 petang itu mengakibatkan laluan dari simpang Janda Baik menghala ke Genting Sempah dah Janda Baik turun ke Bukit Tinggi ditutup sementara akibat jalan rosak.
"Air dari Janda Baik telah turun ke Bukit Tinggi menyebabkan kira-kira 15 buah premis perniagaan di sini terjejas ekoran banjir lumpur dan melimpah ke kaki lima kedai.
"Selain itu, lebih lima buah kediaman penduduk turut terjejas termasuk sebuah tembok rumah runtuh akibat dilanda banjir lumpur berkenaan.
"Kira-kira lima buah motosikal dan sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan berhampiran premis juga dihanyutkan air deras serta berlumpur," kata Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Baru (JKKKB) Bukit Tinggi, Young Meow Foong.
Setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan jumlah mangsa terlibat masih dikumpulkan.
Sumber: Astro AWANI
Foto: Young Syefura Othman