Pernah tak apabila anda berada di satu tempat yang tinggi dan merasa seolah-olah kaki anda mula melayang dan kepala mula berpusing?
Akrofobia. Berasal daripada bahasa Yunani, ‘akron’, bermaksud seseorang yang takut terhadap tempat tinggi. Akrofobia juga berlaku disebabkan trauma pernah terjatuh dari tempat tinggi.
Ia merupakan salah satu trauma yang biasa dialami manusia, dengan simptom seperti panik dan ketakutan. Bagi sesetengah orang, ketakutan ini menjadi terlampau serius hinggakan terlalu takut untuk berada pada mana-mana ketinggian termasuklah diatas kerusi dan tanggan rendah.
Bagi mereka yang mengalami akrofobia, berikut adalah simptom fizikal dan psikologi yang boleh berlaku:
#1 berpeluh, sakit atau sesak dada, dan peningkatan degupan jantung apabila melihat atau memikirkan tempat yang tinggi
#2 menggigil dan menggeletar apabila berhadapan dengan ketinggian
#3 berasa pening atau seperti mahu jatuh atau hilang keseimbangan apabila anda melihat ke atas di tempat tinggi atau turun dari ketinggian
#4 mempunyai ketakutan yang melampau untuk terperangkap di suatu tempat yang tinggi
#5 mengalami kebimbangan dan ketakutan yang melampau apabila anda perlu menaiki tangga.
Kebiasaanya, mereka yang mempunyai trauma ini pernah mengalami peristiwa menakutkan berkaitan ketinggian seperti terjatuh atau pernah melihat seseorang jatuh dari tempat tinggi. Ia juga boleh terjadi disebabkan genetik dan faktor persekitaran.
Akrofobia biasanya tidak memerlukan rawatan dan ia boleh diatasi mengikut kepada cara individu itu menangani rasa ketakutan ini, namun bagi sesetengah kes kritikal, rawatan lanjut perlu dibuat termasuklah merujuk kepada pakar terapi dan juga pengambilan ubat-ubatan yang disarankan doktor.
Sumber: [1], [2]