Penyanyi dan komposer, Ahmad Dhani secara rasmi melarang penyanyi, Once Mekel menyanyikan lagu-lagu Dewa 19 sepanjang tampil di mana-mana konsert.
Kenyataan rasmi berhubung larangan itu telah dikeluarkan oleh peguam Dhani dengan memberi peringan awal secara terbuka kepada penyanyi itu.
"Dengan jelas, kami menyampaikan larangan kepada Once menyanyikan lagu-lagu Dewa 19 dalam konsert tahun ini. Kalau itu dipertimbangkan, dianggap tak melawan hukum, silakan cuba.
"Ini sebahagian daripada peringatan awal secara terbuka. Silakan kalau masih mahu mencuba dan kita akan lihat dan uji," katanya.
Kumpulan rock gergasi itu dilaporkan dalam perancangan untuk mengadakan konsert selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
“Dia boleh nyanyikan lagu-lagu saya yang dibawakan TRIAD, Ahmad Band atau Reza Artmevia. Yang dibawakan Dewa 19, tidak.
“Saya akan jelaskan dengan lebih terperinci nanti. Saya tidak mahu Once nyanyikan lagu Dewa 19 di konsert lain kerana tindakan itu akan menggangu Dewa dan pihak yang menyelenggarakan konsert Dewa kelak,” katanya.
Untuk rekod, majoriti lagu-lagu Dewa 19 adalah ciptaan Dhani sendiri, dan Once langsung tidak pernah meminta izin untuk menyanyikan lagu itu di luar serta tidak pula dibayar sebarang royalti.
"Ini khusus untuk lagu-lagu Dewa 19 yang diciptakan Dhani. Selama ini, kebanyakan lagu-lagu Dewa itu, Dhani yang ciptakan. Itu yang menjadi keberatan Dhani. Selama ini, tidak ada permohonan izin dan tidak memberikan royalti.
"Dhani itu, bukan orang yang tidak boleh menerima pendapat orang lain. Kemudian, imbauannya dibalas dengan baik dengan cara sahabat dan bersiap sedia untuk berkomunikasi. Tak ada masalah.
“Dia boleh didenda sehingga 500 juta rupiah (RM147,000) jika gagal mematuhi larangan tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, kumpulan Dewa 19 pertama kali dibentuk pada tahun 1986 oleh empat ahli iaitu Dhani Ahmad Prasetyo, Andra, Wawan Juniarso, dan Andra Junaidi. Sejak itu, mereka mempunyai beberapa penyanyi vokal utama yang silih berganti antaranya Ari Lasso (1991-1999) dan Once yang juga merupakan pemain keyboard (1999-2011).
Sumber: Utusan