WHO Perlu Tangani Diskriminasi Pengiktirafan Vaksin Berikutan Pengenalan Vaksin COVID-19 - Pakar

April lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menentang dengan tegas berikutan tindakan beberapa negara dari serata dunia yang memperkenalkan pasport vaksin di waktu dunia masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

who perlu tangani diskriminasi pengiktirafan vaksin berikutan pengenalan vaksin covid-19 - pakar

Tentangan tersebut dibuat dengan alasan bahawa ia berkemungkinan akan memburukkan lagi isu ketidakadilan berkaitan vaksin yang berlaku dalam kalangan banyak negara.

Sehubungan dengan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berpandangan bahawa wujud persaingan kuasa besar berkenaan polisi berkaitan pengiktirafan vaksin.

Beliau mengambil analogi daripada beberapa negara Barat yang bertindak untuk tidak mengiktiraf vaksin buatan China.

Kesinambungan daripada tindakan tersebut, mereka yang mengambil vaksin terlibat disekat daripada memasuki negara-negara mereka.

“Jadi, ini yang dikatakan tidak sekata. Misalnya, apabila penduduk di Malaysia atau Asia secara umumnya, banyak kelompok populasi ini menerima vaksin daripada China.

“Bagaimana nak mengembara ke Eropah atau Amerika kalau mereka tidak mengiktiraf vaksin tersebut.

“Soal pengiktirafan vaksin ini juga ada kaitan dengan isu politik dan perniagaan antara negara-negara tersebut.

“Misalnya, negara Eropah dan Amerika mungkin cuba memasarkan vaksin mereka sebanyak yang mungkin dan mereka bersaing dengan negara China,” ujarnya.

Sebagai tambahan, Dr Syed Mohamed Aljunid pada waktu yang sama mempersoalkan tindakan yang diambil beberapa negara yang hanya membenarkan kemasukan penerima vaksin COVID-19 tertentu sahaja.

“Secara khusus, kita tidak dapat melihat adakah ini merupakan satu persetujuan yang dicapai di peringkat antarabangsa.

“WHO sendiri tidak bersetuju dengan pasport vaksin ini dan tidak ada garis panduan daripada WHO apakah penanda aras yang sesuai boleh kita gunakan sebagai panduan.

“Kini kita masih lagi berada dalam peringkat tunggu dan lihat serta menanti untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci lagi,” katanya.

 

Sumber: [1]