Selepas Messi, nama Cristiano Ronaldo pula yang menjadi sebutan ramai sejak malam Khamis lalu.
Ia berikutan setelah wartawan Alfredo Pedulla melaporkan pemain bola sepak berusia 36 tahun itu bakal melakukan pertukaran sensasi bersama juara bertahan Juara Liga Perdana dan bahawasanya sudah terdapat ‘total agreement’ antara Cristiano Ronaldo dan Manchester City.
Wartawan sama kemudian melaporkan lagi bahawa ‘panggilan persidangan’ telah berlangsung antara ejen super Ronaldo, iaitu Jorge Mendes dan pegawai Manchester City untuk mendapatkan lampu hijau bagi pemindahan tersebut.
Ramai yang berpandangan bahawa prospek bayaran perpindahan terbabit berkemungkinan menjadi hambatan besar dalam rundingan.
Bagaimanapun, menurut seorang wartawan yang dikenali sebagai Gainluca Di Marzio, tawaran sebanyak €30 juta (RM147,769,777) telah dibuat pada Jumaat yang mana menurut wartawan Sky Italia, ia kemungkinan diterima syarikat gergasi Serie A itu.
Terdahulu, Ronaldo yang berjaya menjaringkan sebanyak 31 gol menerusi 33 penampilannya dalam musim Serie A lalu, bergabung dengan Juventus pada 2018 dengan nilai € 112 juta (RM551,495,509).
Penyerang Portugal itu, yang turut pernah berkhidmat dengan Manchester United dilaporkan telah mengosongkan loker miliknya di Juventus dan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya bermula hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, pertarungan di Liga Perdana pada Sabtu ini bakal menyaksikan Manchester City berentap dengan Arsenal.
Sekiranya benar Ronaldo bakal ditandatangani Manchester City, para peminat berkemungkinan akan dapat menantikan kembali persaingan hebat antara Ronaldo dan Messi, susulan keputusan seri yang diperoleh Manchester City dan Paris Saint-Germain di peringkat kumpulan Liga Juara.
Sumber: [1]