Kita semua dah tahu yang JDT sah bergelar juara Liga Super buat kali ke-7 berturut-turut (dibaca).
Tapi perebutan naib juara masih lagi terbuka luas. 2 pasukan masih ada peluang untuk dapat tempat ke-2 ni iaitu Kedah dan Perak.
Apa yang penting sangat tempat ke-2 ni sampai direbutkan oleh 2 pasukan ini? Bukan ke selalunya kita hanya ambil tahu perihal sang juara je?
Haa, sebabnya mana-mana pasukan yang berjaya tamatkan saingan Liga Super di tempat ke-2 ni akan diberi slot ke Piala AFC musim depan.
Ok, berbaki 1 perlawanan lagi Kedah berada di kedudukan ke-2 dengan 19 mata, 1 mata di hadapan Perak di kedudukan ke-3.
Lebih menarik, untuk perlawanan terakhir liga ni Kedah akan berkunjung ke Stadium Ipoh untuk berdepan Perak!
Kira macam winner takes all la ni.
Buat penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi pula dia mempunyai 2 misi pada perlawanan ini.
Selain membantu skuad The Bos Gaurus meraih kemenangan, dia juga berpeluang muncul penjaring terbanyak Liga Super musim ini.
Shahrel Fikri kini miliki 10 gol selepas 10 perlawanan liga dan mendahului senarai penjaring terbanyak mengatasi Ifedayo Olusegun daripada Selangor dengan 9 gol dan penyerang Terengganu FC, Dominique Da Sylva dengan 8 gol.
Namun Eki berpendapat kedua-dua penyerang import tersebut lebih berpeluang mendapat anugerah tersebut. Eceh ceh ceh, merendah diri pulak.
Kalau Eki berjaya muncul penjaring terbanyak musim ni, dia akan jadi pemain tempatan pertama meraih anugerah itu sejak 2011. Pada tahun tu, penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya menjaringkan 20 gol. Tapi masa tu tak ada pemain import la dalam Liga Malaysia.
Pemain tempatan terakhir yang muncul penjaring terbanyak dengan adanya pemain import ialah otai kita iaitu Indra Putra Mahayuddin pada tahun 2004 ketika bersama Pahang. Indra menjaringkan 15 gol pada musim itu.
Oleh : Karami Kamel