Ramai yang tertanya-tanya mengenai sejauh manakah sesuatu vaksin itu mampu melindungi seseorang daripada dijangkiti COVID-19 dan apakah mungkin buat mereka yang sudah divaksinasi dijangkiti wabak tersebut?
Menurut pakar kesihatan, terdapat kemungkinan untuk seseorang itu dijangkiti COVID-19 biarpun ia telah divaksin.
Namun, harus ditekankan bahawa kemungkinan tersebut adalah rendah.
Terang seorang pakar virus di fakulti perubatan, University of Maryland, Dr Robert Gallo, “Seseorang yang sudah divaksinasi mempunyai daya kawalan lebih baik ke atas virus itu, maka kemungkinan menyebarkannya kepada orang lain dapat dikurangkan dengan banyak.”
Sehubungan dengan itu, satu kajian telah dijalankan yang mana ia mendapati sekiranya seseorang itu kembali dijangkiti COVID-19 selepas menerima vaksin, ia mempunyai jumlah virus korona yang sedikit pada bahagian dalam hidung berbanding mereka yang masih belum menerima vaksin.
Ia menjadikan proses jangkitan COVID-19 lebih sukar dan terkawal.
Namun, itu tidak bermaksud bahawa mereka yang telah menerima vaksin tidak perlu mengenakan pelitup muka.
Ini kerana, ia tidak mengambil kira lagi aspek ketidakpastian dan kehadiran lebih banyak varian baharu yang kemungkinan, bersifat lebih ‘kuat’.
Oleh itu, pakar kesihatan berkongsi pendapat bahawa mereka sudah menerima suntikan vaksin tetap diwajibkan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal di tempat awam dan juga ketika mendekati mereka yang masih belum divaksinasi terutamanya yang berisiko tinggi.
“Kita masih perlu berjaga-jaga. Vaksin memang perlu, namun ia bukan penawar menyeluruh yang membebaskan kita daripada epidemik selanjutnya,” ujar Gallo.
Sumber: [1]