Remaja Hilang Dalam Semak Ditemui Selepas Lebih 30 Jam 'Ghaib'

Seorang remaja lelaki di Kelantan yang dipercayai ‘ghaib’ selepas membuang air kecil di dalam semak berhampiran rumahnya akhirnya ditemui kembali selepas kira-kira 30 jam.

remaja hilang dalam semak ditemui selepas lebih 30 jam 'ghaib'

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, remaja berusia 13 tahun itu ditemui pada jam 5.30 petang dalam keadaan lemah kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

“Mangsa ditemui lengkap memakai baju kemeja-t lengan pendek berwarna merah berlogo Mickey Mouse dan berseluar pendek warna hitam.

“Mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarga. Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus ditamatkan,” terangnya.

Terdahulu, satu akhbar tempatan melaporkan kehilangan seorang remaja lelaki tingkatan satu selepas membuang air kecil di sebalik kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Pasir Linggi.

Jelas Choon Foo, mangsa dipercayai keluar dari rumah sekitar jam 9 malam sebelum ibunya menyedari dia tidak pulang-pulang walaupun sudah jam 3 pagi.

Tambahnya, sebelum itu, mangsa dikatakan melepak bersama dua rakan baiknya di hadapan rumah sambil bermain telefon bimbit.

Bagaimanapun, keluarga remaja tersebut bersyukur tidak terhingga apabila anak yang dicari mereka berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat.

 

Sumber: [1]