'On Your Mark' Bingkisan Menyentuh Terbaru Dari Pengarah Ola Bola, Catat RM96 Juta Kutipan Di China

Filem pecah panggung China, On Your Mark, arahan pengarah hebat Malaysia, Chiu Keng Guan kini bersedia menemui para penonton seluruh negara menerusi Pawagam Rumah Anda, iaitu Astro Shaw saluran 480, bermula 26 Ogos ini!

'on your mark' bingkisan menyentuh terbaru dari pengarah ola bola, catat rm96 juta kutipan di china

Terdahulu, nama Chiu Keng Guan pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam arena perfileman tanah air menerusi koleksi karya pecah panggung arahannya seperti Ola Bola dan The Journey.

Terbaru, hasil karya filem terbarunya iaitu On Your Mark telah pun melabuhkan tayangannya di China dengan hasil kutipan akhir sebanyak RM96 juta!

On Your Mark mengisahkan tentang seorang anak muda, Xiao Erdong yang bercita-cita untuk menjadi pelari marathon seperti ibunya.

Bagaimanapun, cita-citanya dihalang oleh ayahnya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Filem terbabit memulakan tayangan bermula 18 Jun lalu di negara terbabit menerusi lebih 9 ribu buah pawagam di serata China, dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM8.7 juta pada hari pertama tayangannya!

Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan filem Chiu Keng Guan itu menduduki tangga pertama dalam carta filem di negara terbabit.

“Saya rasa amat teruja filem On Your Mark akan dipersembahkan kepada penonton di Malaysia dan dalam masa yang sama sedikit gementar untuk melihat penerimaan ramai.

Jika karya-karya saya sebelum ini menyelitkan budaya Malaysia, tetapi kali ini sedikit berbeza di mana ia menonjolkan budaya masyarakat di Chongqing, China.

Mesej utama yang saya ingin sampaikan dalam filem ini adalah pengorbanan dan semangat yang saya percaya ia amat dekat dengan kita semua,” kata Chiu Keng Guan.

Sementara itu, beliau akui idea untuk membikin filem tersebut mula tercetus ketika salah satu filem pecah panggungnya, iaitu Ola Bola, ditayangkan di Festival Filem Shanghai pada 2016.

“Penerbit filem On Your Mark datang berjumpa dan berkongsi info filem ini, lalu memberi peluang untuk saya mengarahkan filem ini.

“Saya tertarik dengan jalan cerita dan karakter. Jadi, di situlah bermula karier saya di China.

“Bagi saya, dengan berusaha menghasilkan filem yang baik, ia mampu membawa kita tahap yang lebih tinggi.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Astro, barisan pelakon, kru, media dan terutamanya penonton Malaysia yang sentiasa menyokong karya-karya saya selama ini,” tambahnya.

 

Saksikan On Your Mark yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 26 Ogos 2021 ini. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.