Para saintis mendedahkan bahawa manusia telah merosakkan bumi sebanyak 97% permukaan Bumi, dan hanya 3% daripada tanah planet ini yang kekal utuh secara ekologi berikutan kawasan tersebut merupakan habitat yang tidak tersentuh dan populasi flora dan fauna asli yang tinggal di sana.
Penemuan tersebut dibahas dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal berjudul Frontiers in Forest and Global Change yang membandingkan peta berkenaan ekosistem di seluruh dunia yang telah dimusnahkan manusia dengan peta lain yang menunjukkan kawasan yang mana kumpulan haiwan mengalami penurunan populasi atau pupus sepenuhnya.
Menurut Andrew Plumptre yang mengetuai kajian tersebut, “Kerja lapangan yang dilakukan oleh ramai orang menunjukkan dengan jelas terdapat spesies yang hilang dari kawasan habitat utuh ini – karnivor besar dan sederhana dan herbivora besar dan sederhana khususnya.”
Tambahnya lagi, “Ada yang hilang atau kurang jumlahnya kerana diburu oleh manusia, ada yang hilang kerana pengenalan spesies invasif, seperti kucing dan anjing, dan ada juga yang disebabkan oleh penyakit.”
Dalam pada itu, statistik terbaru mendapati bahawa tanggapan mengenai kira-kira 20% hingga 40% permukaan bumi masih belum terganggu dan rosak yang berdasarkan pada analisis kebanyakan gambar satelit, tidak begitu tepat.
Menurut para penyelidik, terdapat lima ekosistem yang masih utuh di dunia yang meliputi kawasan di Congo, Tanzania, hutan hujan Amazon, Siberia dan Chile Selatan.
Namun yang paling penting, hanya 11% daripada tanah tersebut yang dikenal pasti memiliki perlindungan oleh undang-undang pemuliharaan, dan hanya 4% yang dianggap sebagai sebahagian daripada Kawasan Kepelbagaian Utama, iaitu kawasan yang ditakrifkan penting oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam untuk pemeliharaan hidupan liar.
Sumber: [1]