Kebanyakan orang menjadikan kapal persiaran untuk bercuti, tetapi lain pula bagi lelaki bernama Mario Salcedo ini yang mana kapal pesiaran adalah rumahnya sejak 23 tahun lalu, dan kehidupan berterusan di atas air ini telah menjadikannya sebagai “lelaki paling gembira di dunia”.
Salcedo yang juga seorang pesara telah menaiki ratusan pelayaran dalam tempoh 23 tahun yang lalu, dan dengan pengecualian rehat satu setengah tahun baru-baru ini kerana pandemik COVID-19.
Boleh dikatakan, dia jarang menghabiskan masa lebih dari satu atau dua hari berada di darat.
Salcedo yang berasal dari Miami, Florida, menghabiskan sebahagian besar hidupnya bekerja untuk beberapa syarikat kewangan besar, termasuk Federal Express, mengembara ke seluruh dunia dan melihat orang berseronok.
Pada suatu hari, dia memutuskan sudah tiba masanya untuk dia berseronok; pada 1997, dia meletakkan jawatannya.
“Terdapat ramai orang yang berada di pantai bergembira pada ketika itu. Satu-satunya masalah adalah saya datang dengan sut dan tali leher serta beg bimbit,” kata Salcedo.
“Akhirnya, pada usia 47 tahun, saya berhenti kerja. Saya meninggalkan banyak faedah dan wang di atas meja kerana pada usia 47 tahun, anda tidak terjamin.”
Sebelum berhenti kerja, lebih dua dekad yang lalu, Salcedo tidak pernah menyertai pelayaran, jadi dia menempah enam pelayaran tanpa henti dengan enam pengendali kapal pesiaran berbeza, untuk benar-benar merasai apa itu pelayaran.
Pada akhir percubaan tersebut, dia yakin bahawa ia adalah kehidupan yang dia mahu jalani untuk seumur hidupnya.
“Ia mengiyakan apa yang saya fikirkan dan saya berkata ‘Saya benar-benar mahu melakukan ini sepanjang hayat saya.”
Bagaimanapun, Salcedo tetap bekerja bagi menyokong gaya hidup mewahnya yang unik itu.
Dia menguruskan portfolio pelaburan untuk pelanggan persendirian yang mana dia berupaya melakukannya dari keselesaan dek kolam kapal persiaran, justeru membuatkannya tidak pernah mengeluh apa-apa mengenainya.
Setelah sekian lama berada di atas kapal persiaran, Salcedo berkata bahawa ia membuatkannya tersedar bahawa dia tidak lagi ingin menjejakkan kaki di darat.
“Saya sudah biasa berada di atas kapal sehingga saya rasa lebih selesa daripada berada di darat,” katanya.
Sumber: [1]