Susulan keputusannya meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional, Lee Zii Jia mendedahkan bahawa ia tiada kaitan dengan wang ringgit.
Lagi-lagi selepas kenyataannya yang mendedahkan bahawa gaji bulanan diraih ialah RM8,000.
Namun, segala jawapan bakal diungkapkan pada hari ini dalam satu sidang media bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Akui Zii Jia, dia tidak dapat memuaskan hati semua peminat badminton tanah air dengan keputusan tersebut sehingga ada yang mengatakan bahawa pemenang pingat emas kejohanan Seluruh England 2021 itu ditawarkan nilai lumayan selepas berundur dari BAM.
“Saya enggan menjelaskan terlalu banyak perkara ini, ramai yang mengeluarkan andaian bahawa ia mengenai wang yang lebih lumayan menjadi punca saya tinggalkan BAM, saya tidak boleh mengulas panjang buat masa ini, selepas BAM membuat pengumuman, saya akan memberikan penjelasan,” jelas Zii Jia.
“Sebelum ini, rakan saya, Lai Pei Jing juga menjelaskan bahawa sukar untuk bergerak sebagai pemain profesional dan BAM memiliki fasiliti terbaik. Buat masa ini, saya akan menunggu keputusan pihak BAM,” tambahnya.
Sementara itu, Zii Jia turut menjelaskan ada berbincang bersama barisan kejurulatihan berkenaan keputusan mengejutkan itu.
Dia bagaimanapun nekad dan enggan melibatkan campur tangan mereka.
11 Januari lalu, pemain berusia 23 tahun itu menghantar surat peletakan sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Zii Jia kini dikatakan sudah bersedia mengharungi perjalanan karier baru sebagai pemain profesional, menyedari bahawa laluan yang dipilihnya itu tidak mudah.
Sumber: [1]