Pernahkah anda memeriksa bahagian leher dan mendapati terdapat benjolan tidak normal muncul pada bahagian berkenaan?
Jika YA, besar kemungkinan ia adalah sejenis penyakit tiroid.
Terlebih dahulu kita perlu memahami fungsi kelenjar tiroid yang mana bertindak mengeluarkan hormon tiroid bagi penghasilan tenaga dan metabolisma manusia.
Kelenjar tiroid terdiri dari dua lobus, satu di sebelah kanan dan satu lagi disebelah kiri. Keduanya dihubungkan oleh suatu struktur, yang dinamakan isthmus atau ismus. Ia terletak rendah di bahagian depan leher dan dibawah halkum.
Ketumbuhan tidak normal yang membentuk benjolan di kelenjar tiroid ini disebut sebagai ‘nodul tiroid’. Sesetengah nodul mungkin boleh dirasakan dengan mudah, namun ada juga ketumbuhan lain yang tersembunyi jauh ke dalam tisu tiroid, membuatkan ia sukar dikesan.
Kondisi nodul tiroid mungkin jarang didengari, namun ia sangat biasa berlaku khasnya di Amerika Syarikat apabila mencecah usia 60 tahun.
Antara simptom nodul tiroid adalah seperti suara serak, rasa sakit di pangkal leher, kesukaran menelan, kesukaran bernafas, dan juga kelenjar tiroid membesar (goiter). Pesakit nodul tiroid mungkin mengalami gejala hipertiroidisme, yang merangkumi:
- Lemah otot.
- Sukar tidur.
- Rasa gementar.
- Degupan jantung yang cepat dan tidak teratur.
- Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.
Majoriti ketumbuhan di tiroid ini disebabkan oleh pertumbuhan berlebihan tisu tiroid yang normal. Meskipun punca kepada penyakit ini masih tidak diketahui, tapi faktor asas genetik yang kuat mungkin menyumbang masalah ini.
Terdapat banyak kaedah rawatan yang boleh digunakan bagi merawat ketumbuhan di tiroid, seperti pembedahan dan ubat-ubatan. Segera dapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut berkenaan simptom yang anda alami. Jangan terlalu risau kerana majoriti nodul bukan bersifat kanser dan kebanyakan pesakitnya tidak memerlukan rawatan.
Sumber: Hello Doktor