Hampir 50 peratus wanita muda di China yang tinggal di bandar dilaporkan tidak merancang untuk berkahwinan.
Data tersebut diperoleh menerusi tinjauan terbaru dalam kalangan penduduk muda bandar China yang dijalankan baru-baru ini.
Tinjauan tersebut mengambil kira pendapat seramai 2,905 belia berusia antara 18 hingga 26 tahun yang tinggal di bandar dan belum berkahwin.
Ia mendapati bahawa 44 peratus daripada responden wanita tidak berhasrat untuk berkahwin sementara 25 peratus daripada responden lelaki dalam tinjauan itu juga berkata perkara yang sama.
Tidak ketinggalan, 34.5 peratus daripada mereka yang ditinjau menyatakan “tidak mempunyai masa atau tenaga untuk berkahwin” manakala 60.8 peratus pula mengatakan “sukar untuk mencari orang yang sesuai”.
Selain itu, ada yang turut menyebut beberapa sebab lain untuk tidak berkahwin. Antaranya termasuklah kos kewangan perkahwinan dan beban ekonomi untuk memperoleh zuriat.
Keputusan tinjaun ini dilihat sebagai suatu ‘petanda buruk’ bagi China yang baru sahaja memperbaharui dasar meningkatkan kadar kelahirannya.
Mei lalu, China melancsrkan dasar tiga anak dan menarik kembali larangan terdahulu yang tidak membenarkan sesuatu pasangan itu memiliki lebih daripada dua anak.
Bagaimanapun, terdapat golongan milenial di negara tersebut yang mengatakan kos tinggi untuk membesarkan anak-anak, ditambah pula dengan gaya hidup 9-9-6 (yang mana orang ramai bekerja 12 jam sehari dari 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu) menghalang mereka daripada memulakan keluarga sendiri.
China kini mempunyai jumlah penduduk seramai 1.41 bilion orang.
Sumber: [1]