Bonnie Bunyau Gustin membutirkan emas pertama Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo! Atlet powerlifting negara itu membuat angkatan seberat 230 kilogram sekaligus memadam rekod paralimpik sebelum ini iaitu 228 kilogram.
Atlet kelahiran Sarawak itu nyata gembira dengan pencapaiannya memandangkan ini merupakan penampilan pertamanya pada temasya tersebut. Lebih manis buat Bonnie, impiannya untuk bergelar juara paralimpik telah menjadi realiti. Pada 2019, Bonnie bercita-cita untuk meraih emas pada Sukan Paralimpik sebaik dia muncul juara Kejohanan Dunia Remaja.
Bonnie berkata ia merupakan pencapaian penting buat dirinya lebih-lebih lagi ini merupakan bulan kemerdekaan. Atlet berusia 22 tahun itu juga sifatkan pingat emas yang dimenanginya itu sebagai hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kebangsaan Ke-64 pada 31 Ogos ini. Bonnie juga masih belum berpuas hati dengan kejayaan tersebut dan meletakkan sasaran untuk kembali beraksi pada temasya di Paris pada 2024 nanti.
Jurulatih Bonnie, Jamil Adam pula tekad untuk terus membantu Bonnie mencapai kejayaan pada masa akan datang. Jelasnya, Bonnie miliki semangat yang tinggi untuk terus berjaya lebih-lebih lagi dengan usianya yang masih muda. Tambahan pula Bonnie kini merupakan pemegang rekod Paralimpik dan juga rekod dunia.
Selain itu, Bonnie turut menghadiahkan kemenangan tersebut kepada ayah dan jurulatihnya. Ini kerana kedua-dua individu tersebut memainkan peranan penting dalam kariernya. Ayah Bonnie, Gustin Jenang yang memenangi gangsa kategori 59 kilogram pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur sebelum ini tidak dapat merealisasikan impiannya untuk beraksi pada Sukan Paralimpik. Tambah Bonnie, dia menceburi sukan powerlifting ini juga kerana kerap mengikuti ayahnya menjalani latihan sebelum ini.
Oleh: Karami Kamel