COVID-19 Berkemungkinan Bertukar Menjadi Endemik

Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menyatakan pandemik COVID-19 berkemungkinan besar bertukar menjadi endemik.

covid-19 berkemungkinan bertukar menjadi endemik

Sebagai makluman, sementara pandemik merujuk kepada kejadian wabak secara besar-besaran di serata dunia, endemik pula bermaksud kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau tempat.

Penyakit sebegini dijangka akan sentiasa ada kes dan pada kadar yang stabil dan rendah, denggi misalnya.

Susulan itu, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri berkenaan Kesihatan Awam, iaitu Tan Sri Dr Jemilah Mahmood mengatakan bahawa pendekatan berbeza diperlukan untuk menangani wabak tersebut.

Menurutnya, biarpun negara berjaya mengurangkan jumlah kes harian selain mencapai imuniti kelompok, pendekatan tersebut bagaimanapun tetap diperlukan.

“Seperti denggi, kita terus mengambil langkah pencegahan dari segi kebersihan diri. Mungkin kita perlu meneruskan amalan pemakaian pelitup muka di tempat sesak dan amalan ini agak meluas di banyak negara di Asia Timur seperti Jepun dan China,” katanya.

Tambahnya lagi, suntikan vaksin bermusim juga mungkin diperlukan bagi tujuan mengawal COVID-19, mengambil contoh daripada Eropah yang melakukan sedemikian bagi membendung demam selesema.

Menyentuh mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, jelasnya, pelan terbabit bertujuan untuk mengetengahkan petunjuk dan sasaran yang perlu dicapai Malaysia bagi mengawal situasi pandemik yang melanda negara.

“Setiap pelan pemulihan bergantung pada beberapa faktor. (Dalam kes ini) pemacu utama ialah petunjuk kesihatan awam, kapasiti sistem kesihatan untuk menampung serta kadar vaksinasi kita kerana kita tidak boleh berterusan berada di bawah sekatan pergerakan penuh sedangkan ekonomi perlu dihidupkan semula dan berkembang,” terangnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan mengenai kepentingan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk menyokong kejayaan PPN kerana kedua-duanya bergerak seiring dalam usaha mencapai imuniti kelompok menerusi pemvaksinan sehingga 70% - 80% penduduk negara.

 

Sumber: [1]