Pesakit COVID-19 kini boleh dikenal pasti hanya menerusi bunyi batuk.
Ia berikutan tercetusnya algoritma kecerdasan buatan (AI) yang diwujudkan Serba Dinamik Artificial Intelligence Team (SDAI).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Serba Dinamik Holdings Berhad, pasukan tersebut diketuai Presiden Persatuan Kecerdasan Buatan Malaysia (ARTIS) Dr Azree Shahrel Ahmad Nazri yang mana ujian klinikal telah dilakukan ke atas 150 peserta.
Hasil keputusan mendapati sebanyak 94 peratus sensitiviti untuk kes-kes bergejala dalam kalangan mereka yang menerima keputusan ujian RT-PCR COVID-19 rasmi yang positif sementara 88 peratus pula terdiri daripada mereka yang tidak bergejala.
“Dalam ujian besar-besar ke atas 1,009 peserta, ia mencapai 94 peratus ketepatan, 96 peratus sensitiviti dan 94 peratus kespesifikan.
“Aplikasi yang dinamakan sebagai AI-Screen sedang dinilai oleh Kotak Pasir Teknologi dan Inovasi Kebangsaan (NTIS), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” kata kenyataan tersebut.
Tahun lalu, SDAI bekerjasama dengan ARTIS yang mana mereka berjaya menghasilkan set data sebanyak 25,000 sampel bunyi batuk dan aplikasi itu telah diuji sejak tahun lepas.
"Ketidakupayaan untuk menguji secara besar-besaran menjadi masalah utama dalam perang berterusan terhadap pandemik COVID-19. Aplikasi AI-Screen adalah aplikasi telefon pintar yang dapat merakam dan menghantar tiga bunyi batuk ke enjin AI dan boleh memberikan keputusan dalam masa hanya dua minit," jelasnya.
Tambah beliau, aplikasi AI-Screen bukan bertujuan menggantikan atau bersaing dengan ujian gred perubatan dengan apa jua cara sekalipun.
Sebaliknya, ia menawarkan penggunaan pelengkap bagi kes-kes untuk mengawal wabak menjadi endemik.
Selain itu, pasukan tersebut juga menyasarkan untuk mengumpul lebih banyak sampel dengan menumpukan pada varian Delta.
Aplikasi tersebut boleh digunakan sebagai kaedah prasaringan yang boleh diakses oleh orang ramai menjelang akhir 2021 selepas menerima NTIS daripada MOSTI.
Sumber: [1]