Susulan daripada insiden pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam hari ini (17 Ogos), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan terdapat seramai enam penumpang dan dua anak kapal dalam pesawat berkenaan.
Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam dioperasikan oleh Jetvalet Sdn Bhd berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan, keadaan penumpang pesawat masih tidak dapat disahkan ketika ini.
“Kontak pertama dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.47 petang dan kebenaran mendarat diberikan pada 2.48 petang.
“Pada 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang memerhati asap dari lokasi nahas, namun tiada panggilan ‘mayday’ dibuat oleh pesawat,” jelas beliau.
Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) juga telah diaktifkan untuk menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat, manakala siasatan ke atas insiden berkenaan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan.
Baca: Pesawat Terhempas Di Elmina, Shah Alam, Mungkin Hentam Sebuah Motosikal [Video]
Sumber: CAAM / Astro AWANI