Hari ini genap 100 hari PKP dilaksanakan di Malaysia sejak 18 Mac lalu. Semua aktiviti dan program dibatal atau ditangguh di negara ini dalam usaha mengekang penularan COVID-19 termasuklah sukan.
Pemain bola sepak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah akui pengalaman sebagai atlet ketika tempoh PKP sebagai sesuatu yang akan diingati sampai bila-bila. Sepanjang bergelar pemain profesional, inilah kali pertama dia tidak boleh bermain bola sepak selama 3 bulan. Bukan itu je, dia juga berlatih seorang diri di rumah sambil dipantau jurulatih menerusi rakaman video.
Pertahanan N. Sembilan itu akui lega apabila semua pasukan Liga Malaysia sudah dibenarkan jalani latihan tanpa sentuhan sejak 15 Jun lalu. Walaupun masih berasa janggal kerana perlu ikuti SOP seperti periksa suhu badan dan tidak bersentuhan ketika latihan, dia tetap patuh dengan semua SOP supaya tidak dijangkiti COVID-19. Sebab katanya, keselamatan dan kesihatan adalah perkara utama pada waktu macam ni.
Lain pula ceritanya bagi Low Wee Wern. Atlet skuasy wanita negara itu seronok pada 2 atau 3 minggu pertama kerana boleh berehat di rumah. Sebabnya, sebelum itu Wee Wern sertai banyak kejohanan di luar negara dan ini merupakan peluangnya untuk berehat di rumah. Tapi seronok tu sekejap je la. Lepas tu Wee Wern sendiri rasa sukar memotivasikan diri untuk berlatih dari rumah.
Walaupun sekarang dah boleh mula berlatih bersama jurulatih di gelanggang, Wee Wern akui masih tak banyak yang boleh dilakukan kerana tidak boleh 'sparring' bersama atlet lain. Berhubung pematuhan SOP pula, dia akur yang ianya terpaksa dilakukan demi menjaga keselamatan dan kesihatan atlet.
Kedua-dua atlet ini miliki harapan yang sama iaitu dunia sukan kembali seperti sebelum penularan COVID-19. Norhafiz Zamani dah tak sabar untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan berharap penonton dibenarkan hadir ke stadium untuk memeriahkan perlawanan. Wee Wern pula berharap kejohanan skuasy akan mula dianjurkan semula dan sekatan perjalanan dilonggarkan. Namun, kedua-dua mereka bersetuju yang semua itu hanya boleh dilaksanakan apabila tiada lagi ancaman COVID-19.
Itulah dia ceritanya. Bukan kita je yang terkesan dengan PKP ni, atlet pun sama walaupun diorang nampak macam ok. Jadi, sama-sama lah kita jaga kebersihan dan amalkan penjarakan sosial supaya tiada lagi penularan COVID-19 di Malaysia dan semuanya boleh kembali seperti sediakala.
Oleh : Karami Kamel