Pelakon Sweet Qismina hilang 10 kilo gram (kg) berat badan hanya dengan mengamalkan diet cecair dan memohon orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya mengambil jalan pintas dengan melakukan rejim pemakanan sama untuk kesan seperti dirinya.
“Saya mengamalkan liquid diet dan mengalami kesan sampingan. Salah satunya mudah beremosi kerana mengidam nak makan.
“Saya lakukan untuk kerja tetapi suami dan produksi menjaga saya daripada sebarang keadaan tidak diingini selain pemantauan pakar pemakanan yang mengawasi kesihatan saya.
“Ini bukan hal yang boleh buat sesuka hati. Tolong jangan buat sekiranya tidak merujuk doktor terlebih dahulu,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Sweet juga turut mendapatkan nasihat pakar nutrisi bagi memeriksa kondisi kesihatan sebelum melakukan diet tersebut.
“Doktor akan periksa berat badan dan tahap kesihatan bagi memastikan badan saya sesuai melakukan liquid diet.
“Bila jumpa dengan pakar pemakanan, mereka akan beritahu apa sesuai atau tidak dan bagaimana cara saya untuk diet.
“Susu diberi bukanlah anda boleh dapat dan minum sesuka hati kerana digunakan untuk pesakit yang makan atau minum melalui tuib, sangat berisiko tetapi saya boleh ambil atas nasihat doktor,” ujarnya.
Sumber: Kosmo