Selepas hampir 17 tahun, Elly Mazlein, artis versatil Malaysia, tampil dan terbang tinggi dengan single terbaharunya yang berjudul ‘SAYAP’, terbitan muzik label berpengaruh tempatan, Rocketfuel Entertainment.

Dicipta oleh komposer dan penulis lirik popular tempatan Naim Daniel, Omar K, dan Iqie Hugh, lagu ‘SAYAP’ nyanyian Elly Mazlein ini mempunyai maksud yang tersendiri, dengan mengetengahkan elemen kasih sayang serta cinta kepada Maha Pencipta dan sesama manusia.
Kemunculan semula Elly Mazlein bukan sekadar mewarnai industri muzik, namun ia menyaksikan saat yang signifikan dalam kerjaya Elly Mazlein yang semakin meningkat naik.

Bersempena dengan pelancaran lagu ‘SAYAP’ ini, pihak Rocketfuel Entertainment dan Astro teruja untuk mencipta sejarah baharu dengan memberikan satu pengalaman unik kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan karya terbaharu Elly Mazlein menerusi saluran sementara (pop-up), Elly Mazlein (Saluran 111) di Astro.
Elly Mazlein (Saluran 111) bakal bersiaran bermula 12 tengah malam, 25 Januari sehingga 11.59 malam, 26 Januari 2024, selama 48 jam di Astro. Sebagai tambahan, Elly Mazlein (Saluran 111), bakal mencipta sejarah dan meraih anugerah sebagai penerima Malaysia Book of Records yang akan dimaklumkan kelak.

"Saya sangat gembira berkongsi 'SAYAP' dengan para peminat setelah sekian lama berada di dalan industri muzik tempatan. Elly Mazlein (Saluran 111) ini adalah salah satu cara untuk saya mencipta kenangan dan memberikan buah tangan terbaharu kepada peminat. Saya berharap agar semua peminat turut serta menyaksikannya dan menyertai saya dalam mencipta sejarah buat pertama kalinya di Malaysia!", kata Elly.