Dr. Kamilin Jamilin, baru-baru ini menyatakan pendapatnya mengenai trend umrah yang agak merisaukan ketika ini.
Hal ini disuarakan beliau di TikTok miliknya, sejak akhir-akhir ini orang suka memuat naik ‘content’ di media sosial mereka ketika berada di tanah suci.
Menurutnya, trend ini seolah-olah ramai yang pergi ke Mekah dan Madinah sekadar nak melancong sahaja.
“Risau lihat trend orang sekarang pergi Umrah, bukan semua tetapi boleh katakan ramai di media sosial ini. Dulu-dulu sebelum munculnya media sosial yang pelbagai ini dan pempengaruh yang terkenal, orang kalau dapat pergi Mekah dan Madinah ini satu benda besar.
“Pergi Mekah dan Madinah ini jadi medan keinsafan pada kita, kita betul-betul terasa keagungan Allah dan kemuliaan tanah suci. Ramai bila pergi ke sana jadi bertaubat dan berubah ke arah yang lebih baik.
“Tetapi, sekarang pergi ke sana seperti tiada apa-apa, yang ke sana, balik begitu juga,” katanya.
Lebih merisaukan, ada juga yang menggunakan peluang itu untuk mempromosikan produk mereka.
“Banyaklah kini yang kita boleh nampak nak bagi produk barakah, ambillah gambar yang berlatar belakangkan Kaabah.
“Pergi Mekah dan Madinah ini macam sekadar pergi melancong saja bukan nak buat ibadah sangat, ada duit pergi, seronok-seronok, menunjuk sana sini, cari populariti, cari duniawi, hilang rasa keagungan Allah dalam hati,” ujarnya.
Perbuatan ini sangat membimbangkan dirinya kerana ke’izzahan dua tanah suci itu seperti sudah tiada dan sekarang ia hanya menjadi sekadar konten bagi menarik tontonan orang sahaja.
Sumber: Kosmo