Ella Melangkah Ke Industri Fesyen Muslimah

Ratu Rock Negara, Ella membuka langkah dalam bidang perniagaan dan memilih bidang fesyen muslimah melalui jenama RockQueen yang ditubuhkannya tiga tahun lepas.

 

Menurutnya, dia diinspirasikan oleh gaya urban dengan sentuhan elegan minimalis yang menggabungkan perincian berani selain turut direka bagi memastikan keselesaan dalam pergerakan.

 

"Saya suka fesyen dan saya suka abaya (jubah), tetapi saya tidak mahukan abaya yang sama seperti yang biasa dilihat. Sebaliknya, saya mahukan abaya yang lebih bergaya dengan unsur-unsur berani, unik dan moden, sesuai dengan cita rasa saya.

 

"Setiap koleksi pakaian ini hasil ilham saya sendiri yang juga dipengaruhi oleh pengalaman saya selepas menunaikan haji," katanya. 

 

Walaupun kini sedang sibuk dengan perniagaan, Ella turut berharap karier seninya juga terus bergerak seiring. 

 

"Walaupun saya sibuk merancang melebarkan sayap perniagaan ke pasaran antarabangsa, saya juga berhasrat mengadakan konsert solo pada tahun depan.

 

"Kali ini, saya akan tampil dengan konsert yang berbeza. Saya teruja dan tidak sabar menantikannya. Jika tiada aral melintang, mungkin saya juga akan muncul dengan album baharu, insya-Allah," katanya.

 

Sumber: Awani